Selasa, 4 November 2008

Diet Rendah Glisemik

Dalang yang mendorong epidemik obesiti bukanlah lemak, sebaliknya gula, karbohidrat proses dan makanan berkanji.

OBESITI adalah satu masalah yang serius yang melanda rakyat negara membangun seperti Amerika, Eropah dan Malaysia. Sembilan daripada 10 orang dewasa manakala dua pertiga daripada populasi kanak-kanak di dunia diramalkan bakal mengalami obesiti serius menjelang tahun 2050. Keadaan ini menyebabkan kerajaan di negara-negara membangun melancarkan strategi untuk mengurangkan tahap obesiti.

Akan tetapi strategi mereka terlalu kompleks dan tidak mungkin membantu menangani epidemik obesiti.

Pada dasarnya, obesiti berpunca daripada gaya pemakanan atau diet yang tinggi kandungan gula dan karbohidrat yang telah diproses. Faktor ini merupakan pendorong utama kepada masalah berat badan berbanding pengambilan makanan berlemak.

Andainya pihak kerajaan serius untuk mengurangkan jumlah keseluruhan pengumpulan glisemik atau GL dalam diet kita seperti yang dibuktikan oleh sains, kita perlu mengurangkan pengambilan gula dan perlunya label pada makanan.

Lihatlah kenyataan ini. Bukan lemak yang mendorong epidemik obesiti tetapi gula, karbohidrat proses dan makanan berkanji.

Dengan mengehadkan pengambilan bahan-bahan ini dan memilih makanan rendah GL yang tidak diproses boleh membantu proses pengurangan berat badan.

Nasihat paling teruk yang pernah anda terima sudah tentunya ialah ‘kurangkan pengambilan lemak’.

Biarpun dengan pengurangan kalori daripada makanan berlemak sebanyak 42 hingga 34 peratus dalam tempoh tiga dekad kebelakangan ini, epidemik obesiti di Amerika Syarikat (AS) tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Sebaliknya, kira-kira 45 peratus daripada keseluruhan populasi di negara itu dijangka menjadi obes menjelang tahun 2025.

Satu kaji selidik baru-baru ini mendapati, mereka yang obes atau mempunyai berat badan berlebihan mampu mengurangkan lebih banyak berat badan menerusi diet rendah GL dan memperlihatkan paras lemak yang lebih baik berbanding mereka yang mengamalkan diet konvensional.

Kajian yang dipetik daripada Cochrane Database of Systematic Reviews telah membandingkan hasil penemuan enam ujian rekaan khas yang menunjukkan perbezaan antara diet konvensional dengan diet rendah GL berdasarkan pengurangan kalori.

Jisim badan, jumlah keseluruhan jisim lemak, indeks jisim tubuh (BMI), jumlah kolesterol baik dan kolesterol buruk menunjukkan pengurangan signifikan dalam kumpulan yang menerima diet yang dikawal sumber kalorinya.

GL adalah berbeza daripada GI. GL adalah ukuran tepat mengenai berapa banyak makanan yang meningkatkan kandungan gula dalam darah dan betapa pantasnya gula tersebut dibebaskan dalam makanan. Ia juga menunjukkan jumlah kandungan gula dalam makanan dan itulah kuantiti ‘karbohidrat bersih’ sebagaimana yang ditekankan dalam diet Atkins.

Anda perlu mengehadkan pengambilan harian sehingga tiga hidangan 10 GL dan dua hidangan snek 5 GL untuk melangsingkan badan.

Pengambilan makanan yang betul secara kerap boleh membantu mengekalkan kandungan gula dalam darah pada tahap yang seimbang. Justeru, inilah kunci kepada kejayaan mengurangkan berat badan.

Hidangan makanan yang berGL boleh terus dikurangkan menerusi pengambilan protein dan karbohidrat. Dengan mengambil sebiji epal apabila anda lapar atau bersama beberapa biji badam sudah memadai.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Optimum Well-Being Laboratories di talian 03-79824424 atau emelkan soalan anda ke alamat Oleh Dr. Edward Chan (Edward@Laboratory.com.my.)

*** DR. EDWARD CHAN merupakan pakar perunding terapi nutrisi dan pakar psikologi di Optimum Well-Being Laboratories. ***

Isnin, 6 Oktober 2008

Khasiat Cuka Epal Cider

Ini adalah satu tip untuk pengembara. Mengapa anda perlu bawa sebotol kecil cuka epal sider di dalam beg? Ya, ia mampu membunuh kuman, bakteria dan virus yang mengancam kesihatan anda.

Apabila bercuti di sesebuah tempat atau negara yang bekalan airnya tidak cukup bersih, atau makan makanan yang sudah lama dibiar terbuka di persekitaran kotor, anda tentu terfikir tentang risiko.

Kalau tiada pilihan, anda terpaksa juga makan di tempat tersebut. Namun, mulakan dengan minum satu sudu cuka epal sider sebelum mula menjamah makanan tersebut. Ia boleh membantu anda menghindarkan gangguan perut akibat keracunan atau penghadaman yang tidak sempurna.

Masalah keracunan makanan sering berlaku di tempat yang kita tidak jangka, maka penyelesaian ini boleh diamalkan. Jika anda merasakan rasa cuka ini terlalu kuat, larutkannya di dalam air panas dan kemudian tunggu ia suam sedikit sebelum dicampurkan dengan madu.

Setelah diminum, komplikasi perut akan lebih baik. Begitu juga dengan masalah sakit tekak, formula yang sama boleh dicuba.

Khasiat Lain

Isnin, 22 September 2008

Mengamalkan Diet Seimbang

SETIAP individu pasti mengimpikan bentuk badan yang langsing, segak dan menawan. Ini kerana bentuk badan sebegini, membolehkan kita bebas untuk bergaya dan menyarungkan pelbagai koleksi pakaian yang ditawarkan di pasaran.

Bagi mereka yang bertuah memiliki bentuk badan yang diinginkan mungkin tiada masalah untuk anda melaram dengan baju baru dan cantik.

Tetapi, bagaimana pula bagi golongan yang berbadan besar? Mereka bukan sahaja terpaksa memilih baju yang bersesuaian malah kadang-kala tidak berpeluang untuk memilih.

Meskipun masyarakat sentiasa memuji dan memandang tinggi golongan berbadan langsing, tapi tahukah anda bahawa bukan semua individu berbadan kurus, mempunyai kesihatan yang baik.

Kadang-kala untuk kelihatan kurus dan mengekalkan bentuk badan, mereka sanggup berlapar dan hanya menikmati makanan dalam kuantiti sedikit. Sebagai contoh, hanya mengambil sebiji epal, beberapa keping biskut dan meneguk air putih setiap hari.

Situasi ini dapat dilihat dalam kalangan selebriti dan model antarabangsa seperti Tara Reid, Nicole Richie, Mary Kate Olsen, Kate Moss dan Victoria Beckham.

Laman web Staralicious pernah melaporkan mengenai kesihatan dan anekrosia yang dihadapi oleh Nicole Richie ketika menghadiri Majlis Anugerah MTV. Nicole kelihatan begitu kurus kerana mengalami masalah pemakanan.

Apabila mendapati masalah penurunan berat badannya semakin tidak terkawal, Nicole mengambil keputusan menjalani rawatan di pusat pemulihan. Ini bertujuan mendapatkan penjagaan dan pemakanan yang teratur.

Sementara itu, Pembantu Profesor Perubatan Dalaman, Pusat Perubatan Southwestern, Amerika Syarikat, Dr. Margo Denke menjelaskan, diet seimbang perlu mengandungi sumber-sumber utama seperti karbohidrat, kalori, protein dan lemak.

"Kombinasi sumber utama dapat membekalkan diet yang seimbang sekali gus memastikan individu mendapat nutrien yang berkhasiat," katanya.

Tiada salahnya bagi seseorang berusaha mengurangkan berat badan, tetapi ia perlu mengikut sistem yang betul.

Laman web netdoctor.com, menasihatkan supaya individu tidak seharusnya mengamalkan diet yang terlalu drastik dan melakukan senaman yang teruk.

Sebagai contoh, jika sebelum ini anda tidak bersenam dalam tempoh yang lama, jangan terus berlari jauh atau melakukan senaman berat di atas treadmill.

Ini kerana ia boleh mendatangkan kecederaan dan menurunkan tahap kecerdasan anda pada masa yang akan datang.

Seharusnya, anda membuka 'menu diet' dengan mengamalkan beberapa tip. Antaranya, melakukan senaman berjalan kaki selama 20 minit sehari. Mungkin anda boleh melakukan aktiviti ini ketika waktu rehat atau selepas pulang dari pejabat atau kuliah.

Jangan sesekali meneguk minuman yang mengandungi alkohol. Bertukarlah dengan menikmati air buah segar dan banyakkan minum air putih.

Selain itu, hindari makanan manis dan snek seperti coklat dan kek. Sebaliknya memilih makanan sihat (buah, sayur, ayam atau ikan). Begitu juga, kurangkan sapuan mentega atau mayonis yang mengandungi lemak berlebihan.

Khamis, 18 September 2008

Kesan Kurang Vitamin E

Vitamin E ialah salah sau antioksidan yang penting dalam pencegahan kanser dan penyakit kardiovaskular. Ia memperbaiki peredaran darah yang mana perlu untuk memperbaiki tisu dan sangat berguna dalam rawatan 'premenstrual syndrome' dan penyakit fibrocystic buah dada.

Ia memelihara pembekuan darah yang normal dan penyembuhan, mengurangkan parut yang diakibatkan oleh sesetengah kecederaan, mengurangkan tekanan darah, membantu dalam pencegahan penyakit katarak, meningkatkan prestasi atlit dan mengendurkan otot kaki dari kekejangan.

Vitamin E boleh meningkatkan pengeluaran air mani pada sesetengah lelaki. Ia juga mengekalkan kesihatan saraf dan otot dan di masa yang sama menguatkan dinding kapilari. Vitamin E menggalakkan kulit dan rambut menjadi sihat dan membantu mencegah anemia dan 'retlolental fibroplasia', sejenis gejala mata yang boleh menjangkiti bayi pramatang.

Satu kajian yang dijalankan oleh National Cancer Institute pada tahun 1998 mendapati pengambilan Vitamin E dalam jangka masa panjang dapat mengurangkan risiko kanser prostat di kalangan penghisap rokok.

Lain - lain kajian mengesyorkan bahawa vitamin ini dapat memperlahankan perkembangan penyakit Alzheimer. Sepanjang ini diketahui bahawa Vitamin E telah menunjukkan kesan pencegahan kepada lebih kurang 80 jenis penyakit.

Jumaat, 12 September 2008

Kuasa penyembuh warna

Bagaimanakah warna mempengaruhi mood seseorang?


WARNA mampu memberi kekuatan tenaga, menenangkan dan mengubah tindak balas fizikal dan mental seseorang.


WARNA sememangnya sesuatu yang menarik. Ia ada di sekeliling kita dan bayangkan apakah makna hidup ini andainya persekitaran ini hanya berwarna hitam dan putih?

Berbanding penghuni-penghuni di planet lain, kita jauh lebih bertuah kerana warna hanya wujud dengan adanya cahaya. Dunia yang gelap-gelita tanpa cahaya dan warna sudah semestinya membosankan.

Dari aspek psikologi, warna merupakan satu medium yang cukup besar kuasanya dalam mempengaruhi mood seseorang. Para pengamal terapi alternatif percaya ini disebabkan warna mengandungi tenaga penyembuh.

Kehangatan atau kedinginan kepada sesuatu subjek boleh ditentukan oleh tahap getaran tenaga pada warna tertentu. Jika diaplikasikan secara betul, warna mampu memberi kekuatan tenaga, menenangkan dan mengubah tindak balas fizikal dan mental seseorang.




Menurut pakar psikik dan psikologi, warna digunakan dalam pelbagai aspek penyembuhan menerusi sejumlah kaedah berbeza. Ini termasuk meditasi dan hipnosis, pemakaian warna untuk memberi impak kepada mood, penggunaan warna dalam kediaman dan mengamalkan pengambilan makanan yang warnanya boleh memanfaatkan tahap kesihatan tubuh kita.

Pakar perunding psikologi dari Pusat Psikologi Malaysia, Dr. Edward Chan yang dihubungi KOSMO! berkata, kajian yang dijalankan di luar negara pernah menunjukkan warna mempengaruhi tahap IQ seseorang.

“Berdasarkan sebuah kajian, bilik darjah yang dicatkan dengan warna oren, merah mahupun kuning didapati meningkatkan tahap IQ dan merangsang pembelajaran pelajar.

“Sebaliknya, warna putih, hitam dan perang pula memberi kesan bertentangan. Biru merupakan warna dingin berupaya menenangkan kanak-kanak hiperaktif,” katanya.

Jelasnya, terapi warna telah lama dikaitkan dengan kesihatan manakala warna-warna makanan pula dengan nilai nutrisinya.

Satu kajian oleh Dana Kanser Sedunia dan Better Health Foundation juga menunjukkan makanan natural yang dibahagikan mengikut kumpulan boleh menggalakkan pemakanan lebih seimbang.




“Satu kempen Five a day, the Colour Way yang diadakan di negara luar menunjukkan makanan yang dikategorikan dapat memastikan kita memakan sekurang-kurangnya satu jenis makanan dari setiap kumpulan setiap hari,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai terapi warna dalam kehidupan harian, sila layari www.colourtherapyhealing.com

Khamis, 11 September 2008

Hanya sekali sehari


Jika sebelum ini pesakit diabetes dibebankan dengan pengambilan tablet oral sehingga tiga kali sehari, Glucophage XR adalah inovasi baru. Cuba kira berapa ramai rakan anda di dalam pejabat. Jika jumlahnya mencecah 10 orang, salah seorang daripada anda adalah penghidap penyakit endemik yang semakin digeruni, diabetes.

Itulah perumpamaan mudah untuk menggambarkan betapa diabetes bukan sahaja penyakit yang semakin meningkat, tetapi ia bagaikan bom jangka yang menunggu masa untuk meletup.

Menurut Perunding Kanan Endokrin, Dr. SP Chan, jumlah pesakit diabetes di Malaysia sangat membimbangkan apabila statistik menunjukkan 10.2 peratus rakyat negara ini menghidap diabetes, dengan 95 peratus daripadanya adalah diabetes jenis II.

Katanya, apa yang lebih membimbangkan dua daripada tiga pesakit diabetes Malaysia didapati tidak mengambil rawatan yang teratur untuk mengawal tahap glukosa dalam darah mereka.

Akibatnya, ramai yang terpaksa menderita dengan penyakit itu selain pelbagai penyakit 'pakej' lain akibat hiperglisemia seperti hipertensi, masalah kolesterol, kardiologi, obesiti dan masalah seksual.

Jelas Chan, pelbagai faktor menyumbang kepada kegagalan pesakit mengambil rawatan secara teratur termasuklah pengambilan dos yang terlalu kerap selain pelbagai kesan sampingan.

Satu versi tablet terkini yang dikenali sebagai Glucophage XR (metformin hyrocholoride) yang dilancarkan oleh Merck Serono baru-baru ini adalah antara inovasi terbaru yang menawarkan lebih keselesaan kepada pesakit diabetes.

Metformin yang digunakan secara meluas di seluruh dunia sebagai agen antidiabetik oral, membantu mengawal jumlah kandungan gula dalam darah.

Ia mengurangkan jumlah kandungan penyerapan glukosa oleh seorang pesakit daripada makanan yang diambil selain glukosa yang dihasilkan hati. Glucophage yang telah berada di pasaran sejak 50 tahun lalu juga meningkatkan tindak balas tubuh terhadap insulin.

“Metformin sememangnya menjadi ubat pilihan peringkat pertama dalam rawatan farmakologi di kebanyakan organisasi antarabangsa. Peraturan global untuk pengurusan diabetes jenis II mencadangkan metformin sebagai terapi farmakologi sejak hari pertama seseorang didiagnos dengan diabetes,” kata Chan.

Bagaimanapun akuinya, pengenalan generasi terbaru Glucophage iaitu Glucophage XR menawarkan kepelbagaian manfaat tambahan baru yang membolehkan pesakit diabetes lebih selesa mengambil ubatan.

Jelas Penasihat Kanan Perubatan Antarabangsa Merck Serono, Dr. Harry Howlett, berbanding Glucophage yang memerlukan seseorang pesakit mengambil dos ubat sebanyak dua atau tiga kali sehari, generasi baru Glucophage XR hanya memerlukan dos pengambilan satu hari sekali.

Walaupun perbezaan jumlah pengambilan ini mungkin dilihat bukan satu angka besar, tetapi tambah Howlett menerusi kajian di luar negara, ramai pesakit yang mengakui ia sesuatu yang amat melegakan.

“Mengambil ubat seumur hidup sebanyak beberapa kali sehari sesuatu yang memberi tekanan. Pengambilan tablet Glucophage XR hanya perlu diambil sekali sehari selepas makan malam,” katanya.

Selain itu, ubat generasi baru ini juga turut mengurangkan beberapa kesan sampingan yang sebelum ini dialami oleh sesetengah pesakit semasa mengambil Glucophage.

“Formulasi Glucophage XR lebih mudah dan cepat bertindak selepas dimakan. Tetapi, yang paling penting jika sebelum ini ada pesakit yang mengadu mengalami kesan sampingan terhadap usus selepas mengambil Glucophage, namun dengan Glucophage XR kesan tersebut tidak akan lagi dirasai,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Endokrin Pusat Sains Kesihatan Universiti Texas berkata, ramai pesakit diabetes jenis II turut dibebankan dengan pelbagai jenis ubatan lain.

Katanya, rejim antidiabetik oral yang mudah dan ringkas akan dapat membantu meningkatkan motivasi dan emosi pesakit untuk meneruskan rawatan secara teratur.

“Glucophage XR seharusnya diambil sekali sehari selepas makan malam dan jumlah dos yang perlu diambil bergantung kepada priskripsi doktor.

“Ia boleh bermula serendah 500 mg sehari dan dinaikkan perlahan-lahan kepada 2000 mg sehari. Dos paling tinggi

Rabu, 10 September 2008

Khasiat Kopi Sebaik Aroma

Antioksida yang dimiliki kopi berfungsi seperti ‘tentera’ yang menjadi perisai tubuh daripada radikal bebas. JIKA orang Jepun menikmati kebaikan teh, orang Perancis mendapat khasiat daripada wain merah, orang Amerika Syarikat pula (AS) boleh berasa segar dan sihat dengan kopi.

Walaupun kopi bukanlah berasal dari negara itu, tetapi populariti minuman tersebut di AS semakin besar sehinggakan secara purata, seorang rakyatnya dikatakan mengambil lebih 200 gram kopi sehari. Namun hakikatnya, sebelum menempa populariti di AS, kopi sebenarnya telah menjadi minuman harian di kebanyakan negara lain termasuklah Malaysia.

Hari ini, populariti kopi di AS menjadi pemangkin kepada lebih banyak kajian dan penyelidikan yang dilakukan oleh saintis untuk melihat kebaikan dan keburukan di sebalik minuman dari buah kopi yang berwarna kemerahan apabila masak.

Salah satu hasil kajian yang dijalankan sejak lima tahun lalu mendedahkan pengambilan kopi menawarkan manfaat kepada pesakit parkinson dan diabetes jenis II. Malah kajian oleh penyelidik di Sekolah Kesihatan Awam Harvard turut menyenaraikan fakta tentang melindungi seseorang daripada penuaan yang menjadi satu lagi nilai tambah kelebihan kopi.

Faktor tersebut didorong oleh beberapa perkara terutamanya kandungan kafein di dalam kopi, selain fungsi antioksida yang tinggi dalam bijian ini. Kandungan kafein dalam 200 gram kopi, contohnya mencecah 135 mg, berbanding teh yang hanya sekitar 35 mg.

Menurut penyelidik nutrisi, Michael Leitzmann, hasil kajian mendapati kumpulan responden yang mengambil minuman kopi secara teratur dalam tempoh kajian selama lima tahun mendapati kurang 80 peratus risiko daripada mereka diserang parkinson.

Selain itu, hasil kajian gabungan dari beberapa pusat penyelidikan seperti Universiti Scranton, Universiti Athens dan Universiti Keio, Tokyo merumuskan kopi berupaya mengurangkan tekanan darah tinggi dan menjadi antioksida mengurangkan risiko kanser, sakit jantung dan strok.

Profesor kimia dari Texas, Dr. Joe Vinson pula menjelaskan, antioksida yang dimiliki kopi berfungsi seperti ‘tentera’ yang menjadi perisai tubuh daripada radikal bebas.

“Manusia terdedah kepada radikal bebas daripada oksigen yang disedut, gula dan sebagainya sehingga mengundang pelbagai penyakit kronik. Antioksida membantu mengurangkan kemungkinan serangan kanser, jantung dan strok,” katanya.

Atas manfaat itu, Dr. Vinson mencadangkan kepada orang ramai agar menikmati secawan kopi sehari.

“Secawan sudah cukup. Ia adalah satu jumlah yang sudah optimum untuk memberi manfaat kepada jantung,” katanya yang turut mengakui terdapat kajian yang menyatakan kopi baik untuk kesuburan lelaki, selain menggalakkan sperma berenang lebih aktif.

Namun, katanya, dalam beberapa penelitian, kopi tidak digalakkan diambil oleh kalangan wanita mengandung dalam kuantiti yang besar.

“Hospital Christchurch, New Zealand, menyatakan wanita hamil yang mengambil kopi terlalu kerap melahirkan bayi yang sukar bernafas ketika dilahirkan.

“Manakala, kajian dari Institut Karolinska, Sweden, menyatakan wanita yang mengambil 100 mg kafein sehari mudah berisiko mengalami keguguran,” kata Vinson.

Selasa, 9 September 2008

Cegah demam kuning


Demam kuning merupakan sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh nyamuk khususnya Aedes aetypti.

NYAMUK Aedes aetypti membawa jangkitan penyakit demam kuning.

RIBUAN orang berbaris panjang menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin demam kuning di sebuah hospital awam di Brasilia, Brazil baru-baru ini. Kementerian Kesihatan Brazil telah menyediakan suntikan vaksin terhadap demam kuning di 18 negeri ekoran dua kes yang dilaporkan berlaku di Brasilia sejak kebelakangan ini.

Kerajaan Brazil mengesahkan seorang lelaki yang mati di sebuah hospital baru-baru ini adalah berpunca daripada demam kuning.

Sebanyak 12 kes yang disyaki telah dilaporkan berlaku sejak beberapa minggu lalu. Tiga pesakit daripada sejumlah kes itu telah pun meninggal dunia manakala selebihnya masih disiasat.

LEBIH 560,000 penduduk Brazil diberikan vaksin.

Demam kuning merupakan sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh nyamuk khususnya Aedes aegypti. Jangkitan virus yang berlaku boleh mengakibatkan degenerasi tisu pada hepar dan ginjal.

Penyakit berjangkit ini pernah mengakibatkan epidemik besar di Afrika dan Amerika. Istilah ‘kuning’ penyakit ini diperoleh ekoran masalah jaundis yang menjejaskan segelintir pesakit demam kuning.

Meskipun vaksin yang berkesan sudah boleh diperoleh dalam tempoh enam dekad ini, jumlah pesakit yang dijangkiti sepanjang dua dekad lalu telah meningkat. Ini sekali gus menjadikan demam kuning antara isu kesihatan paling serius yang membimbangkan masyarakat tempatan termasuk di Malaysia.

Dalam tempoh 12 tahun lalu, sejumlah 349 kes penyakit demam kuning telah dilaporkan di Brazil dengan catatan sebanyak 161 kematian.

Sebelum ini, kes demam kuning belum pernah dilaporkan di kawasan bandar Brazil sejak tahun 1942. Namun, pihak berkuasa tempatan yakin kematian seorang lelaki akibat demam kuning baru-baru ini adalah berpunca daripada jangkitan di luar bandar.

Sebagai langkah berjaga-jaga, lebih daripada 560,000 orang telah pun menerima suntikan vaksin terhadap penyakit berjangkit itu biarpun kerajaan Brazil telah mengesahkan tiada risiko epidemik setakat ini.

VAKSIN merupakan pencegahan terbaik.

Kebimbangan masyarakat umum mengenai isu ini bermula selepas dua ekor monyet ditemui mati di sebuah taman awam di Brasilia. Bagaimanapun, ujian yang dijalankan ke atas salah seekor haiwan itu mendapati tiada berlakunya sebarang jangkitan.

Sepanjang musim perayaan lalu, kerajaan Brazil telah mengeluarkan satu peringatan kepada pelancong tempatan dan luar negara agar memeriksa keperluan untuk mendapatkan vaksin. Pemeriksaan itu bergantung kepada pelan melancong mereka.

Dengan peningkatan kes-kes demam denggi yang juga merebak menerusi nyamuk, pihak berkuasa tempatan di Brazil kini terpaksa berdepan dengan satu kebimbangan kesihatan awam.

Sepanjang tujuh bulan pertama bagi tahun 2007, lebih daripada 438,000 kes demam denggi dilaporkan di Brazil dengan 98 dilaporkan mati.

Memandangkan ketiadaan vaksin untuk demam denggi, para pegawai kesihatan terpaksa bergantung kepada kerjasama orang awam untuk mengelakkan daripada menakung air di luar kawasan rumah bagi mencegah pembiakan nyamuk.

Buat masa ini, belum terdapat rawatan spesifik untuk demam kuning. Dehidrasi dan demam boleh dibetulkan dengan garam rehidrasi oral dan parasetamol. Parasetamol adalah sejenis ubat analgesik yang juga mengurangkan demam.

DEMAM kuning akibtakan degenerasi hepar dan ginjal.

Sebarang jangkitan bakteria yang bertindih perlu dirawat menggunakan antibiotik yang sesuai. Penjagaan sokongan intensif mungkin berupaya melegakan pesakit yang tenat tetapi ia jarang diperoleh di negara-negara miskin yang sedang membangun.

Oleh itu, vaksinasi merupakan satu-satunya langkah tunggal terbaik untuk mencegah demam kuning. Dalam populasi yang tidak mempunyai liputan vaksinasi yang luas, pengamatan berwaspada adalah kritikal untuk mengawal penyebaran drastik. Langkah pengawalan terhadap nyamuk boleh digunakan untuk mencegah jangkitan virus sehinggalah vaksinasi berkesan.

Vaksin untuk demam kuning adalah selamat dan amat efektif. Kesan imunisasi boleh dilihat dalam minggu pertama daripada 95 peratus orang yang menerima vaksin tersebut.

Satu dos vaksin mampu menyediakan perlindungan sehingga 10 tahun dan mungkin juga seumur hidup.

Seseorang yang tidak terdedah kepada sebarang risiko tidak semestinya perlu menerima vaksin berkenaan. Wanita-wanita mengandung bagaimanapun hanya akan diberikan vaksin ini sewaktu kempen vaksinasi berlangsung pada saat-saat berlakunya epidemik.

Bolehkah Bersenam Di Bulan Puasa?


SENAMAN vertical traction iaitu menarik pemberat ke bawah merupakan senaman yang sesuai untuk jantung, kaki dan belakang badan.

BERSENAM di bulan puasa? Oh, tidak! Mungkin itulah yang keluar daripada mulut sesetengah individu yang berpendapat mereka perlu mengurangkan atau menghentikan sebarang aktiviti fizikal termasuk bersenam buat seketika kerana bimbang kepenatan, lapar dan dahaga di bulan Ramadan ini.

Bagaimanapun, Pengurus Kecergasan Fitness First, Simran Latiff, menolak tanggapan tersebut sambil menegaskan senaman masih perlu diteruskan walaupun ketika berpuasa bagi meningkatkan kadar metabolisme, selain mengekalkan tahap kecergasan agar tidak menurun dan memudahkan seseorang itu menjalani latihan fizikal seterusnya.

Katanya, bulan puasa tidak harus dijadikan alasan untuk seseorang itu mengehadkan aktiviti mereka termasuk melakukan senaman.

“Jika tidak melakukan senaman, otot menjadi lemah dan badan mudah berasa letih. Ini kerana kalori masih perlu dibakar biarpun pada bulan puasa,’’ ujarnya ketika ditemui, baru-baru ini.

Simran berkata, sekiranya seseorang itu tahu kebaikan meneruskan senaman pada bulan puasa yang mampu memaksimumkan pembakaran kalori terutama yang sumbernya datang daripada lemak, pasti mereka mahu melakukannya apatah lagi jika telah terdapat keinginan untuk mendapatkan bentuk badan sempurna.

Menerangkan lebih lanjut mengenai bagaimana senaman di bulan puasa, katanya, secara umumnya pengambilan kalori pada bulan puasa akan berkurangan kerana pembakaran lemak berlaku secara maksimum.

“Pada hari biasa, ketika kita bersenam badan memerlukan kalori untuk dijadikan tenaga dan pada 20 minit pertama, tenaga itu datang daripada kalori karbohidrat terlebih dahulu. Selepas 20 minit pertama, barulah badan menggunakan kalori lemak untuk dijadikan tenaga.”

Disebabkan berpuasa, jelasnya, kalori karbohidrat dalam badan secara tidak langsung akan berkurangan dan secara semula jadi badan terus menggunakan kalori lemak untuk dijadikan tenaga tanpa memerlukan 20 minit pertama. Dari situ, ia dapat mengurangkan peratusan lemak dalam badan seseorang.

Menerangkan cara dan bagaimana aktiviti senaman boleh dilakukan, kata Simran, sepanjang bulan puasa senaman boleh dilakukan dua atau tiga kali seminggu dengan sekurang- kurangnya 30 minit sekali senaman.

Ia agak berbeza di bulan biasa iaitu perlu dilakukan lebih kerap dan memerlukan antara 30 minit hingga satu jam setiap senaman.

Lebih penting kata Simran, dalam tempoh 30 minit itu individu boleh melakukan tiga senaman berperingkat-peringkat seperti senaman memanaskan badan, senaman kardiovaskular seperti berbasikal dan berjalan kaki.

Bagi membentuk kardiovaskular (berjalan, joging atau berbasikal), penggunaan tenaga pada tahap maksimum perlu diselaraskan mengikut tahap latihan yang sesuai.

Bagi latihan pembentukan otot, seseorang itu dinasihatkan agar melakukan senaman pada otot besar sahaja. Antaranya, bahagian dada, belakang, bahagian depan paha dan belakang paha.

Bagi setiap otot, latihan boleh dilakukan sebanyak satu atau dua set dan setiap satu set sebanyak 15 hingga 20 pengulangan. Bilangan yang kerap membolehkan kita mengurangkan lemak dan pada masa sama, membentuk otot.

Senaman katanya, boleh dilakukan 30 minit atau satu jam sebelum waktu berbuka atau selepas berbuka sebaik proses penghadaman selesai.

Selain senaman memanaskan badan, individu juga boleh menggunakan threadmill atau kayuhan basikal yang boleh dilakukan selama kira-kira 10 hingga 15 minit.

Bagi mereka yang memilih melakukan senaman selepas berbuka, kata Simran pastikan makanan yang dimakan semasa berbuka telah benar-benar hadam. Ambil masa sekurang-kurang setengah hingga satu jam selepas makan.

“Cuba elakkan berbuka dengan mengambil makanan berat, sebagai contoh nasi. Sebaiknya, individu dinasihatkan agar hanya mengambil makanan dalam jumlah yang sedikit seperti sebiji kurma dan segelas minuman,’’ ujarnya lagi,

Simran menambah, melakukan senaman kardio selama kira-kira 30 minit baik untuk jantung. Ini boleh diikuti dengan latihan mengangkat bebanan, latih tubi dan regangan.

Isnin, 8 September 2008

Khasiat keju lebih tinggi


TERDAPAT ribuan jenis keju di dunia yang menawarkan pelbagai khasiat tersendiri.


KALAU disebut sahaja tentang keju, pasti ramai yang teringatkan iklan popular makanan itu yang pernah disiarkan di kaca televisyen suatu masa dulu. Antara dialog popular iklan itu tentunya, “Satu hari seorang pengembara membawa susu merentasi padang pasir. Dalam perjalanannya, dia mendapati susu itu telah bertukar menjadi keju.”

Walaupun iklan tersebut hanya mengambil masa beberapa minit waktu siaran di kaca TV, namun yang pasti ia meninggalkan kesan besar kepada kebanyakan penonton terutamanya kanak-kanak.

Ia bukan sahaja menunjukkan kepada kita bagaimana keju dihasilkan, tetapi mesej iaitu keju berasal daripada susu yang cukup jelas memberitahu betapa makanan pejal itu adalah santapan cukup berkhasiat.

Berasal daripada susu menjadikan keju sumber penting membekalkan karbohidrat, kalsium, protein, lemak, vitamin dan mineral. Walaupun selalunya bagi mereka yang berdiet, keju menjadi menu yang perlu dijauhi, namun dengan segala khasiat yang disediakan keju, pakar pemakanan mengakui keju boleh diambil tetapi dalam kuantiti yang sederhana.

Pakar Dietetik dari California, Prof. Grace Lellment memberitahu sama seperti susu, golongan kanak-kanak adalah mereka yang mendapat khasiat besar daripada keju.

Sebagai contoh katanya, keju keras seperti chedar, setiap 100 gramnya membekalkan 36 peratus protein, 80 peratus kalsium, 34 peratus lemak dari jumlah keperluan gizi yang dicadangkan untuk sehari.

“Keju adalah satu lagi produk susu tetapi hadir dalam bentuk pejal. Tidak semua kanak-kanak sukakan susu, tetapi ramai yang tertipu apabila diberikan keju.

“Keju membantu ibu bapa membekalkan khasiat yang terkandung dalam susu untuk anak-anak mereka,” kata Lellment.

Namun, katanya, mungkin ramai yang tidak mengetahui khasiat yang disediakan keju sebenarnya jauh lebih tinggi daripada susu. Kandungan protein misal, 100 gram keju rata-rata mengandung 22.8 gram protein, sedangkan susu segar hanya 3.2 per 100 gram. Begitu juga dengan kandungan kalsium, keju mengandungi 777 miligram (mg) tetapi susu segar hanya sekitar 143 mg setiap 100 gram berat bahan.




Beberapa hasil kajian mendapati keju dapat mengurangkan gejala sindrom pra menstruasi dan memperkuat tulang. Kandungan pelbagai mineral yang tinggi pada keju sangat baik untuk melindungi gigi daripada karies.

Malah, terdapat beberapa kajian yang diutarakan oleh pakar pemakanan, keju yang berbeza menyediakan fungsi atau manfaat pada tubuh yang juga berbeza.

Keju mozzarella contohnya, mempunyai tekstur yang lebih lembut berbanding keju jenis lain. Ramai yang biasanya memilih mozzarella untuk menurunkan berat badan sedangkan keju jenis ini lebih baik untuk pembentukan otot.

Keju kotej pula agak lembik dan berwarna keputihan. Tetapi dengan pelbagai zat yang baik untuk ereksi tubuh, pakar pemakanan menyatakan keju kotej baik untuk meningkat hubungan seks.

Keju chedar atau keju pejal mempunyai kandungan lemak yang agak tinggi. Selain menguatkan tulang, dan menyediakan sumber vitamin, keju jenis ini disimpulkan baik untuk tenaga.

Lantaran khasiat dan keenakan itulah, walaupun keju sebenarnya berasal dari Timur Tengah, masyarakat Barat adalah antara yang paling tinggi menikmati keju.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Organisasi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, rakyat Denmark, Greece dan Perancis adalah antara penggemar keju apabila secara purata setiap seorang penduduknya menikmati 28 kilogram, 25 kilogram dan 24 kilogram keju setahun.

Walaupun begitu, bagi mereka yang alah dengan laktosa, selain penderita sakit ginjal, jantung dan hati, pakar pemakanan menganjurkan pengambilan keju perlulah dihadkan. Ini kerana keju juga mengandungi garam dan lemak yang agak tinggi.